Latar Belakang
Pengasas kami, mendiang En. Yeoh Liew Kung dilahirkan di Wilayah Fujian, China pada tahun 1912. Seperti banyak pemuda yang tinggal di China Selatan yang dilanda kemiskinan pada masa itu, En. Yeoh menuju ke "Nanyang" (Asia Tenggara) untuk kehidupan yang lebih baik. Beliau akhirnya menetap di Singapura pada tahun 1930-an dan berkahwin dengan Soon Soo Keow, yakni seorang pelakon opera Teochew yang datang ke Singapura dari Jieyang, Wilayah Guangdong, China. Mereka membesarkan sembilan orang anak.
Titik Permulaan Perniagaan
En. Yeoh merupakan seorang doktor perubatan Cina. Beliau menghasilkan Minyak Herba Cap Udang (Double Prawn brand Herbal Oil) pada tahun 1950-an dengan rumusan rahsia yang diwarisi oleh nenek moyangnya. Beliau mula merawat rakan-rakan dan jiran-jiran yang menderita kerana luka ringan, gigitan serangga, luka dan kudis buta. Beliau menghadiahkan minyak tersebut kepada rakan-rakan dan jiran-jiran yang tidak mampu berjumpa doktor. Minyak Herba terbukti sangat berkesan. En. Yeoh dan isterinya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan kecil dengan nama Syarikat Tai Tong Ah selepas menerima dorongan kuat daripada para pengguna yang berpuas hati. Mereka menjual Minyak Herba dan produk-produk perubatan Cina. Akhirnya, Syarikat Tai Tong Ah memutuskan untuk fokus pada dua jenis produk, yakni Minyak Herba dan Linimen Rumagon.
Peringkat Awal Perniagaan
Pada peringkat awal perniagaan, pemasaran hanya dilakukan secara dari mulut ke mulut, terutama di Singapura dan Malaysia. Pada masa itu, produk Tai Tong Ah dijaja oleh jurujual dari satu tempat ke satu tempat. Mereka meletakkan produk di dalam bakul dan mengunjungi rumah demi rumah. Selain itu, En. Yeoh dan isterinya berjaja di kampung dengan van mereka yang berwarna-warni. Mereka menggunakan bahagian belakang van sebagai kedai dan singgah lebih kurang 20 minit di setiap tempat. Mereka menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan kehadiran mereka. Penduduk kampung terutamanya kanak-kanak yang tertarik sentiasa berkumpul di sekitar van. Hadiah kecil seperti alat permainan atau kalendar diberikan dengan setiap pembelian. En. Yeoh begitu yakin dengan keberkesanan Minyak Herba, jadi Syarikat Tai Tong Ah menawarkan jaminan pembayaran balik wang jika produk tersebut tidak begitu berkesan seperti yang dijanjikan. Sejajar dengan perkembangan masa, Minyak Herba memperoleh reputasi yang kukuh dalam komuniti tempatan. Perniagaan terus berkembang. Orang ramai yang menderita pelbagai penyakit kulit datang ke Singapura untuk membeli produk tersebut.
Penglibatan Komuniti yang Aktif
Selain menjalankan perniagaan, En. Yeoh juga aktif melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Beliau merupakan penyokong besar bagi organisasi amal dan aktiviti-aktiviti yang mempromosikan muzik, seni dan budaya Cina di dalam dan di luar Singapura. Tai Tong Ah aktif menaja pelbagai acara amal di bawah pimpinan En. Yeoh. Beliau selalu mengedarkan ribuan botol produk Cap Udang kepada acara yang melibatkan warga tua, seperti minggu Persatuan Warga Emas dan aktiviti untuk warga tua yang dianjurkan oleh gereja. En. Yeoh juga terlibat secara aktif dalam persatuan-persatuan perniagaan dan suku di Singapura. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Pengilang Perubatan Cina selama bertahun-tahun dan Pengerusi Kehormat Persatuan Pengedar Perubatan Cina Singapura. Beliau menyertai Persatuan Chao Ann dan Persatuan Persahabatan Singapura China. Beliau menghabiskan bertahun-tahun berkhidmat di Jawatankuasa Penduduk untuk Kawasan Lembah Sungai. Sebagai penghargaan kepada sumbangan beliau kepada masyarakat, En. Yeoh dikurniai Pingat Bakti Masyarakat (PBM) oleh kerajaan Singapura pada tahun 1975.
Watak Utama dalam Perkembangan Opera Teochew
En. Yeoh dianggap sebagai salah satu watak penting dalam perkembangan opera Teochew di China dan Asia Tenggara. Beliau menyukai opera Teochew dan merupakan pemain muzik utama dalam beberapa kumpulan opera Teochew yang popular. Beliau berjuang untuk meningkatkan kebajikan dan taraf hidup pelakon opera Teochew di rantau ini dengan menubuhkan Persatuan Opera Teochew Malaya. Pada tahun 1950-an kadar pengangguran adalah tinggi dan kadar literasi adalah rendah. Beliau mendirikan "Syarikat Opera Teochew Chit Hoon" untuk mewujudkan peluang pekerjaan. Beliau juga menetapkan peraturan ketat demi membantu para pekerja dalam perkembangan peribadi. Beliau mengharapkan semua pekerja syarikat opera mematuhi peraturan berikut:
- Sentiasa menepati masa
- Jauhkan diri daripada candu, judi dan bahasa kesat
- Belajar antara satu sama lain
- Belajar bertutur, membaca dan menulis Mandarin
Menjadi Seorang Guru Qigong
Apabila berusia tua, yakni mencecah 80-an, En. Yeoh mengembangkan minat dalam "qigong". Beliau belajar daripada seorang guru qigong terkenal dari China. Beliau menguasai teknik dengan cepat dan mula mengadakan kelas secara berkala di Takungan MacRitchie pada waktu pagi. Beliau memiliki lebih daripada 100 orang pelajar dari semua lapisan masyarakat pada waktu puncaknya. Mereka belajar qigong dengan setia bersama dengan En. Yeoh.
Gaya Hidup yang Berdisiplin
En. Yeoh mengekalkan gaya hidup yang sangat berdisiplin sepanjang hidupnya dengan mengambil makanan sihat dan bersenam setiap hari. Beliau masih cergas dan bertenaga serta masih menguruskan syarikatnya ketika usia 90. Malangnya, beliau menghidap barah dan meninggal dunia dengan tenang pada 15 Februari 2004. Ketika itu, beliau berusia 92 tahun. Beliau meninggalkan anak-anak, cucu-cucu dan anak cicit serta sumbangannya kepada perubatan Cina dan budaya Cina di Asia Tenggara.
*Pingat Bakti Masyarakat (Public Service Medal) didirikan pada tahun 1973. Pingat ini dianugerahi kepada sesiapa yang memberikan perkhidmatan awam terpuji di Singapura atau pencapaian dalam bidang seni, sukan, sains, perniagaan, profesion dan gerakan buruh.