Produk Cap Udang diperbuat daripada herba dan minyak pati yang berkualiti tinggi. Ramuan-ramuan ini diperoleh daripada pembekal terkenal dari seluruh dunia.

Rubarb

Rubarb (Rhubarb) ialah ramuan yang biasa digunakan dalam perubatan herba Cina. Rubarb bersifat anti-jangkitan, anti-radang, menghilangkan lembap dan panas serta mengurangkan kepanasan di dalam tubuh badan. Dalam perubatan Cina, Rubarb digunakan untuk melegakan sembelit, sakit perut, cirit-birit, penyakit kuning, bengkak dan luka, luka lebam dan rawatan luaran untuk luka bakar.

Cengkih

Cengkih (Clove) ialah tanaman tropika. Minyaknya berkesan untuk penghambatan kulat kulit biasa dan mesra terhadap kulit.

Dittany Bark

Dittany Bark boleh dijumpai di wilayah Liaoning, Hebei, Sichuan dan Jiangsu di China. Dittany Bark banyak digunakan sebagai ramuan perubatan untuk merawat penyakit kulit seperti ekzema, bisul dan ulser serta kegatalan kulit.

Duri Honey Locust Cina

Duri Honey Locust Cina (Chinese Honey Locust Spine) ialah duri pada tanaman Honey Locust Cina. Tumbuhan ini telah digunakan sebagai bahan pencuci di China sekurang-kurangnya 2,000 tahun. Apabila dikeringkan, duri ini digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengatasi penyakit radang termasuk bengkak, bernanah, pekung serta penyakit kulit seperti kudis buta dan kurap.

Akar Sophora

Akar Sophora (Sophora Root) ialah salah satu ramuan tertua yang digunakan dalam perubatan Cina untuk menyingkirkan kepanasan dan mengeringkan kelembapan, menyingkirkan “api”, membersihkan toksik, menghilangkan parasit dan mendorong pembuangan air kencing. Kajian moden telah mengesahkan keberkesanan farmakologi akar Sophora seperti antitumor, antivirus dan antiradang.

Akar Burnet

Akar Burnet (Garden Burnet Root) berfungsi untuk menyejukkan darah, menghentikan pendarahan, menyingkirkan kepanasan dan menyembuhkan luka. Secara khusus, akar Burnet digunakan untuk menghentikan cirit-birit berdarah, hidung berdarah dan disapukan pada badan yang ada luka bakar dan gigitan serangga.

Myrrh

Myrrh ialah gam atau resin semula jadi yang diekstrak daripada sebilangan spesies pokok kecil berduri genus Commiphora. Resin Myrrh telah lama digunakan sebagai minyak wangi, kemenyan dan ubat dalam sejarah. Dalam perubatan, myrrh digunakan sebagai antiseptik dalam ubat cuci mulut, ubat kumur dan ubat gigi. Selain itu, sesetengah linimen dan salap mengandungi myrrh untuk digunakan pada bahagian badan lelas dan penyakit kulit ringan lain. Myrrh juga berfungsi sebagai analgesik untuk sakit gigi dan linimen untuk lebam, sakit dan terseliuh.

Minyak Pudina

Minyak pudina (Peppermint oil) diperoleh daripada tanaman pudina. Biasanya, minyak pudina digunakan sebagai perasa makanan dan minuman serta sebagai pewangi dalam sabun dan kosmetik. Minyak pudina digunakan dalam krim atau salap yang disapukan pada badan untuk menghilangkan sakit kepala, sakit otot dan kegatalan. Minyak pudina juga merupakan penghalau nyamuk yang berkesan.

Metil Salisilat

Metil salisilat (Methyl salicylate) (juga dikenali sebagai minyak wintergreen) ialah ester organik yang dihasilkan secara semula jadi daripada pelbagai spesies tanaman, terutamanya wintergreen. Salap atau linimen yang mengandungi metil salisilat disapukan pada badan sebagai perengsa untuk melegakan kesakitan akut yang berkaitan dengan lumbago, sakit saraf tulang ekor dan reumatik.

Minyak Turpentin

Minyak turpentin (Turpentine oil) diperbuat daripada resin spesies pokok pinus tertentu. Minyak turpentin digunakan sebagai ubat luaran untuk sakit sendi, sakit otot, sakit saraf dan sakit gigi.

Minyak Serai Wangi

Minyak serai wangi (Citronella oil) ialah minyak pati yang diperoleh daripada daun dan batang pelbagai spesies Cymbopogon (serai). Minyak ini digunakan secara meluas sebagai sumber bahan kimia pewangi seperti citronellal, citronellol dan geraniol. Minyak serai wangi juga ditambahkan pada minyak dan krim untuk disapukan pada badan. Penggunaan minyak citronella dapat membantu membunuh kuman dan kulat pada kulit dan mendorong penyembuhan luka.

Minyak Kayu Manis

Minyak kayu manis (Cassia oil) ialah hasil daripada penyulingan wap kulit kayu, daun dan ranting kayu manis. Minyak kayu manis berfungsi untuk meningkatkan peredaran darah dan menimbulkan rasa kehangatan dalam badan. Minyak kayu manis juga berfungsi dalam rawatan semula jadi untuk sakit otot kerana dapat merangsang peredaran darah dan berfungsi sebagai agen antiradang.

Minyak Jarum Pinus

Diekstrak daripada jarum pinus, minyak jarum pinus (Pine needle oil) berkesan untuk merangsang peredaran dan kehangatan untuk melegakan gejala-gejala reumatologi, gout, sakit saraf tulang ekor dan artritis. Ekzema dan kurap kering juga boleh diringankan dengan minyak pati jarum pinus. Selain itu, minyak jarum pinus membantu menyembuhkan luka dan menenangkan kulit radang.

Minyak Kayu Putih

Kayu putih (Eucalyptus) ialah pokok malar hijau yang tumbuh dengan cepat di Australia. Selain digunakan dalam banyak produk untuk mengurangkan gejala batuk, selesema dan sesak hidung, ramuan ini juga terdapat dalam krim dan salap untuk melegakan sakit otot dan sendi.

Minyak Serai

Minyak serai (Lemongrass oil) berasal daripada tanaman serai yang tumbuh di kawasan tropika dan subtropika. Serai digunakan dalam ubat tradisional untuk menghilangkan rasa sakit, mengurangkan gejala artritis reumatoid, masalah perut dan deman kerana bersifat antioksidan, antiradang dan antijamur.

Minyak Pokok Teh

Minyak pokok teh (Tea tree oil) datang dari daun pokok teh yang berasal dari Australia. Sebagai ubat tradisional, minyak ini biasanya digunakan sebagai ubat topikal dalam kepekatan rendah untuk rawatan kulit, kelemumur, jerawat, kutu, herpes, gigitan serangga, kudis buta dan jangkitan kulat atau bakteria kulit.

Kapur Barus

Kapur barus (Camphor) ialah terpena (sebatian organik) yang biasanya digunakan dalam krim, salap dan losen. Minyak kapur barus ialah minyak yang diekstrak daripada pokok kapur barus dan diproses dengan penyulingan wap. Minyak ini boleh disapukan pada badan untuk menghilangkan rasa sakit, kerengsaan dan kegatalan.

Mentol

Mentol (Menthol) semula jadi diperoleh dengan membekukan minyak pudina. Kristal mentol yang terhasil kemudian dipisahkan melalui penurasan. Mentol digunakan sebagai agen mengurangkan rasa gatal dalam banyak produk untuk melegakan sakit tekak ringan dan kerengsaan mulut atau kerongkong yang ringan. Selain itu, mentol juga boleh digunakan sebagai analgesia topikal untuk melegakan sakit ringan seperti kekejangan otot, terseliuh, sakit kepala dan keadaan lain yang seumpamanya.

Oleoresin Cili Kembung

Minyak pati cili (Chili essential oil) merupakan cecair berminyak merah pekat dengan rasa pedas yang unik pada lada cili. Minyak pati cili berfungsi untuk melancarkan peredaran darah, rawatan luaran radang dingin, sakit reumatoid, sakit belakang dan gejala-gejala lain.

Bahasa Malaysia